Asam Arui-Arui

Samada sedar atau tidak.. Hampir 2 bulan Penulis tidak berkongsikan sesuatu di dalam Blog yang  sudah berusia lebih 6 tahun ini. Kadang-kadang mati akal juga tajuk apa yang ingin ditulis. Apabila terlihat gambar buah Asam Arui-arui dalam simpanan, terpaksa jugalah gagah untuk menulis artikel pertama Tahun 2014.

Asam Arui-arui atau disebut juga Asam Aur Aur memang terkenal di Sabah, Sarawak dan Brunei. Di Sarawak ia lebih popular dengan nama buah Kundung atau Kendung. Di Indonesia ia lebih terkenal dengan nama Asam Kandis atau nama saintifiknya  Garcinia parvifolia. Penulis mengenali buah ini dengan lebih dekat semasa kunjungan ke Kota Kinabalu Sabah sewaktu ketika dahulu.

Menurut rujukan Pokok Asam Arui-arui yang seakan pokok manggis ini boleh mencapai 10-20 m tinggi dan mempunyai kanopi yang padat.  Bunganya kecil berwarna merah dan Buah kecil berbentuk bulat, berwarna hijau semasa muda dan bertukar menjadi merah cerah  atau merah keungguan apabila matang. Isi berwarna putih dan rasanya masam masam manis dan berjus.

Kebiasaaanya, isinya boleh di makan segar dan dibuat jem manakala kulit buah yang matang boleh dijadikan asam untuk masakan setelah dikeringkan seperti menggunakan asam keping. Dipercayai, buah ini juga boleh dibuati ubat bagi merawat demam. Buah direndamkan dalam air suam-suam panas kemudian minum air tersebut. Rasanya sedap sedikit berbanding  asam keping.

Tidak banyak maklumat dapat dikumpulkan mengenai buah ini. Jika anda mempunyai cerita mengenai tanaman ini, diharap boleh kongsikannya di sini.

Number of View :13013