
Artikel kali ini tentang bonsai.. Soalan saya yang pertama. Ramai kah masyarakat di Malaysia meminati Bonsai? Terlebih dahulu tahukah anda apa yang dimaksudkan Bonsai. Bonsai adalah dari perkataan Jepun yang bermaksud pokok di dalam bekas.

Ada juga yang menyatakan perkataan Bonsai bermaksud “Kerdil”. Pendapat menyatakan asal usul Bonsai ini adalah dari negara China dan ia dikatakan bermula lebih 2,000 tahun yang lalu.

Pokok bonsai wujud dalam pelbagai bentuk atau gaya. Pokok bonsai secara asasnya adalah berbatang tegak. Namun, bentuk yang semakin menarik perhatian adalah berbatang condong, pokok dahannya berjuntaian, dan pelbagai jenis bentuk lagi.

Antara pokok yang sering ‘dibonsaikan’ dan diminati ialah Japanese Cedar, Japanese Larch, Japanese Maple, Chinese Juniper, Trident Maple dan Scot Pine. Pokok tempatan yang sesuai dijadikan bonsai ialah pokok Melati, Kesinai dan pokok Kemuning.

Pokok yang hendak dijadikan bonsai biasanya ditanam di dalam pasu yang kecil agar pertumbuhannya bantut. Penjagaannya juga mudah, hanya memerlukan banyak air disiram dua kali sehari kerana pokok diletakkan di kawasan yang terdedah dengan cahaya matahari.

Perkara yang sukar dan memerlukan sedikit kemahiran ialah membentuk dan menjadikannya sepohon bonsai yang menarik. Kepada anda yang tiada bakat untuk membentuknya bolehlah dapatkan bonsai yang sudah siap sedia. Harganya pun boleh tahan..

Kebiasaanya, harga sesuatu bonsai bergantung kepada keunikkan dan usianya.Menurut kata pakar pula, pokok bonsai yang cantik dan menarik perlu memenuhi tiga kriteria utama iaitu umur pokok yang tua, daun yang kecil dan pokok yang tahan lasak.

Dahulu, saya pernah cuba-cuba buat bonsai. Nak kata menarik tidaklah juga. Adalah bakat sedikit sebab memang minat dengan tanaman ini. Setelah dibentuk dan dijaga lebih kurang 5 tahun. Tak sangka pokok bonsai saya telah dicuri orang. Selepas itu, saya pindah rumah dan terus berhenti buat bonsai. Sekarang ini tengah cuba-cuba nak mulakan semula.

Kalau anda juga peminat bonsai, bolehlah kongsikan cerita anda atau gambar bonsai anda di sini. Tentu ramai yang berpengalaman di luar sana.

Gambar yang anda lihat diatas merupakan gambar yang telah saya rakamkan semasa mengunjungi gerai jualan Pameran Landskap di Bangi awal tahun 2010.

