
Durian, ( Murr.) merupakan antara spesies buah-buahan yang sangat popular dan banyak ditanam di Malaysia.
Secara tradisional, pokok durian ditanam daripada baka biji benih di dusun-dusun di kampung. Lazimnya buah durian dari pokok anak baka biji menghasilkan buah yang tidak seragam, tidak pasti kualitinya dan sebahagian besar tidak mendapat pasaran yang baik.
Durian, sebagai salah satu daripada 15 jenis buah-buahan yang telah dikenalpasti di bawah Dasar Pertanian Negara (1992 – 2010), mempunyai potensi untuk dibangunkan bagi menampung permintaan tempatan, eksport dan gantian import.
Durian mempunyai khasiat pemakanan yang lebih tinggi berbanding dengan kebanyakan buah-buahan yang diimport. Durian, khususnya mengandungi protein, lemak, karbohidrat, kalsium, Vitamin A dan Vitamin C yang lebih tinggi daripada buah-buahan import seperti epal, pir dan anggur.
Pokok durian yang berasal daripada anak biji boleh mencapai ketinggian 30 – 40 m dan mempunyai banir setinggi 2 – 3 m apabila tua manakala ketinggian pokok cantuman pula boleh mencapai 10 – 20 cm sahaja. Biasanya pokok durian yang masih muda mempunyai kanopi yang berbentuk seperti kon. Bagi pokok durian yang telah matang, kanopinya berbentuk bulat dan rendang. Penanaman durian yang terlalu rapat, boleh mengakibatkan kanopinya berbentuk bujur.
Durian mempunyai buah yang berbagai saiz. Saiz buah boleh mencapai ukuran sehingga 18 cm lebar dan 20 – 32 cm panjang. Kulit buah durian biasanya berwarna hijau, hijau keperangan hingga kuning keperangan. Ianya mempunyai duri yang tajam berukuran 1.25 cm panjang dan 1.8 cm lebar pada pangkal duri. Pada permukaan buah terdapat 4 – 5 garisan yang dipanggil garisan pangsa di mana ia digunakan sebagai tanda untuk membuka buah durian. Buah durian mempunyai bentuk bulat, bulat bujur dan bujur. Buah durian mempunyai 4 – 6 pangsa yang memuatkan ulas-ulas isi durian. Terdapat 1 – 8 ulas isi dalam satu pangsa. Isi durian berwarna putih kekuningan atau oren, dan kadang-kadang ada juga isi durian yang berwarna merah; ada yang tebal dan ada yang nipis, bergantung kepada klon dan jenis yang ditanam. Rasanya lemak, manis dan ada juga yang berasa pahit sedikit. Buah durian akan gugur sendiri apabila masak. Buah durian yang masak mempunyai bau yang kuat. Beberapa hari selepas buah gugur, kulit buah akan merekah di sepanjang garisan pangsa bermula daripada hujung buah.
———————————————————————————–




