21 Oct, 2007

Pokok Pecah Kaca

Posted by: admin In: Pecah Kaca

Pecah beling atau nama saintifiknya Strobilanthes crispus atau Saricocalix crispus (Acanthaceae) merupakan tumbuhan yang berasal dari Madagascar hingga ke Indonesia dan telah dikenal pasti buat pertama kalinya oleh Thomas Anderson (1832 - 1870) yang mengkelaskan tumbuhan ini di bawah Spermatophyta (tumbuhan berbunga dan gymnosperma). Daun in dikenali dengan nama pecah beling, enyoh kilo, kecibeling atau kejibeling di Indonesia. Di Malaysia, pokok ini lebih dikenali dengan nama pecah kaca, pecah beling atau jin batu. Pokok mudah ditanam dan hidup subur di Malaysia. Daunnya telah digunakan secara tradisional untuk merawat kanser, kencing manis serta batu karang dan juga sebagai agen diuretik.

Tumbuhan ini mempunyai kandungan kalsium karbonat yang tinggi dan air rebusannya bersifat alkali yang lemah. Kajian oleh Kusumoto dan rakan-rakan (1992) menyatakan bahawa ekstrak air pecah beling mempunyai kompaun atau molekul yang mampu untuk merencatkan pertumbuhan retrovirus; agen dalam jangkitan virus seperti sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) dan juga mampu untuk merencatkan pertumbuhan sel leukemia. Terdapat banyak kompaun yang telah diasingkan dan dikenal pasti seperti asid kafeik, asid p-hidroksi benzoik, asid p-voumarik, asid vanillik, asid gentinik, asid ferulik dan asid siringik.

Daripada kajian makmal yang dilakukan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), daun pecah beling mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi seperti kalium (51%), kalsium (24%), natrium (24%), ferum (1%) dan fosforus (1%). Daunnya juga mempunyai kandungan vitamin C, B1, B2 yang agak tinggi dan banyak bahan yang lain seperti katekin dan tannin. Daun ini juga mengandungi kafeina, tetapi kandungannya adalah rendah. Kesemua kandungan yang dinyatakan menyumbang kepada paras jumlah antioksidan (total antioxidant activity) yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan yerbamate (teh herba) dan vitamin E (alfa-tokoferol).

Bagi kajian antikanser pula, kajian praklinikal telah dijalankan untuk menilai keberkesanan ekstrak pecah beling secara in vitro (kultur tisu) dan in vivo (kajian haiwan). Bagi kajian kultur tisu, ekstrak pecah beling bertindak secara efektif untuk merencatkan pertumbuhan sel kanser kolon, kanser hati dan kanser buah dada. Ekstrak ini mampu membunuh sel kanser dengan mengaruh sel kanser ini mati secara semula jadi (apoptosis) tanpa kesan sampingan atau keradangan. Di samping itu, ekstrak pecah beling ini juga mampu untuk memendamkan gen penyebab kanser, sekali gus mengurangkan risiko dan keterukan kanser. Bagi kajian haiwan pula, ekstrak air pecah beling pada kepekatan 2.5% dan 5% mampu untuk mengurangkan keterukan kanser hati bagi tikus yang diaruh kanser hati.

Fitosterol (sterol dari tumbuhan) telah berjaya diasingkan daripada daun pecah beling ini. Bahan ini telah terbukti mampu untuk merencatkan pertumbuhan sel kanser seperti yang telah disebutkan di atas. Bahan ini juga dikatakan mampu untuk menurunkan paras kolesterol darah kerana fitosterol akan bersaing dengan kolesterol di dalam usus, sekali gus menyebabkan kolesterol dari makanan tidak dapat diserap.

Ekstrak air daun pecah beling juga telah diuji keberkesanannya sebagai agen antidiabetis pada tikus yang diaruh diabetes. Ekstrak daun pecah beling pada kepekatan 5% dan 7.5% mampu untuk menurunkan paras gula darah di samping meningkatkan paras jumlah antioksidan (total antioxidant level) darah bagi tikus yang diaruh diabetes atau kencing manis. Ekstrak ini tidak mempunyai kesan ke atas paras gula darah pada tikus normal, tetapi mampu untuk meningkatkan paras jumlah antioksida (total antioxidant level). Peningkatan paras jumlah antioksidan (total antioxidant level) dalam darah adalah penting untuk melindungi badan daripada radikal bebas. Oleh itu, ekstrak ini sesuai bukan sahaja untuk mereka yang berpenyakit, tetapi juga untuk mereka yang normal.

Kami telah menyediakan formula teh daripada daun pecah beling. Teh pecah beling ini telah menunjukkan tahap antioksidan yang sangat tinggi, merencatkan pertumbuhan sel kanser buah dada dan kanser ovari dan juga berkesan untuk menurunkan paras gula darah pada tikus yang diaruh diabates atau kencing manis. Hasil yang menarik lagi ialah di mana teh pecah beling ini mampu untuk merencatkan pertumbuhan 2 daripada 9 mikroorganisma yang dikaji iaitu Streptococcus sobrinus dan Streptococcus mutans. Bakteria yang disebutkan ini adalah bakteria yang menyebabkan karies gigi.

Kesimpulannya, daun pecah beling merupakan tumbuhan yang mempunyai banyak khasiat. Ia mempunyai jumlah antioksidan yang tinggi di samping mampu untuk bertindak sebagai agen antioksidan, antikanser, antidiabetes dan juga antimikrob. Walau bagaimanapun, kajian klinikal (human study) masih perlu dijalankan untuk menentukan kesannya terhadap pesakit kanser dan juga pesakit diabetes atau kencing manis.
—————————————————————————————

Dapatkah Hadiah Misteri Dengan Menjawab Soalan Kajian Ini <-Klik Sini

Related Posts with Thumbnails

14 Responses to "Pokok Pecah Kaca"

1 | Cmayau

February 23rd, 2009 at 8:59 am

Avatar

menarik nya info mengenai pokok ini dan sungguh berkhasiat , diharap pihak berkenaan kajian ini dapat mempersepatkan kajian mereka supaya ianya dapat dimanfaatkan kepada penyakit-penyakit yang disebut tersebut.

3 | duke_viking

May 17th, 2009 at 12:49 pm

Avatar

bagus…sangat bagus!!!tp mana nak cari kalau sy btul2 mmerlukan????

4 | Lina

June 20th, 2009 at 9:10 am

Avatar

Betul..saya pon nak tahu mana boleh dapatkan pokok ni?

5 | nora isa

July 29th, 2009 at 10:49 am

Avatar

pokok pecah kaca ni juga bagus direbus dan jadikan
minuman untuk tujuan memecahkan batu karang
dalam buah pinggang atau hempedu.pokok ni kita boleh
lihat banyak ditanam di kawasan rumah orang2 cina.

6 | sue

October 7th, 2009 at 1:45 am

Avatar

saya ingin bertanya..adakah pokok pecah kaca ini boleh mengubati kanser paru2…dan bagaimana cara yang terbaik untuk memakannya..terima kasih

7 | azman

October 10th, 2009 at 2:04 am

Avatar

laaaa banyak khasiat rupa2nya. kat belakang rumah saya pun ada, rimbun bbeno. isteri saya selalu cantas sampai jadi dogel. tapi lama lama tumbuh semula dengan daun yang lebih subur dan segar. permukaan daun agak kasar. bebaru ni, abang ipo tidak boleh buang air kecil dengan lawas, saya bagi beberapa helai daun ni, suh dia rendam je dgn air panas dan minum selepas 15 minit direndam. Alhamdulillah, kencingnya lawas sampai hari ini.

8 | Shah

November 10th, 2009 at 7:13 am

Avatar

Saya nak tanya pd yang tahu cara2 utk merawat sakit batu karang…maksudnya berapa helai daun yang patut direbus dan sebagainya….

9 | eija

November 25th, 2009 at 11:10 am

Avatar

Orang yang gemuk, boleh jadi kurus ke kalau minum air rebusan daun ini. Kalau nak rebus, berapa helai daun di perlukan?

10 | sara

November 25th, 2009 at 11:21 am

Avatar

budak2 leh minum tak?

11 | alim

March 5th, 2010 at 3:15 pm

Avatar

saya panggil daun kaca beling tak payah nak rebus-rebus beli aje produk HPA , minuman ALG satu uncang satu gelas memang bagus melawas buang air kecil dan masalah batu karang

12 | zool

March 13th, 2010 at 3:18 am

Avatar

boleh tak blender kemudian minum

13 | wagimin

May 13th, 2010 at 3:47 pm

Avatar

tumpang tanye , kalo mao minom airnye , bapo helai yang nak direbos ? haaaa , akornye bole ke rebos skali ek ? em , satu ari bapo kali minom ? pas rebos , bole tahan bapo lame ? sumbat dalam peti ais bole tak ? ayak ni bole basi a kalo biokan ? :P

14 | mat din

July 20th, 2010 at 8:20 am

Avatar

laa…kat umah saya bnyak pokok ni…

Comment Form


 Powered by Max Banner Ads 

 Powered by Max Banner Ads 

Categories


  • sya: info yang bagus! saya pernah dengar tentang pokok kecubung tapi kurang jelas mengenai khasiatnya. Terima kasih dengan info di laman ini!!
  • delon: Good day, saya ada masaalah tentang pokok ini, dimana ada sejenis burung yang bermata merah suka sangat makan daunnya sehingga pokoknya mati.
  • mardiana binti kholid: pecinta buah-buahan tempatan, skg ada lg x buah ni kat umh awak? saya nak beli..klu ada tlg e-mail kat saya di mardiana_kholid@yahoo.com. please ye...

About

Blog ini hanyalah artikel semata-mata. Ianya di ambil dari sumber-sumber yang boleh dipercayai. Sekiranya ada kesilapan atau ketidakpuasan hati mengenai artikel ini haraplah diberi komen dan cadangan. Di harap sedikit-sebanyak blog ini dapat memberi pengetahuan kepada anda yang berminat dalam bidang tumbuh-tumbuhan, landskap, herba dan bidang pertanian.

Dapatkan Artikel Baru Terus ke Email Anda

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Percuma Pelan Bisnes Ladang Sayur