BUNGA daisy senang ditanam dan tidak cerewet dari segi penjagaan. Kuntum bunganya memang cantik dan berkelopak majmuk serta berbentuk bulat tumbuh pada ketiak daun. Bunganya menyerupai bunga matahari dan tumbuh di hujung tangkai yang panjang.
Bunga daisy sesuai ditanam di bawah cahaya matahari supaya cepat berbunga serta cantik warnanya.
Pokok ini cepat membiak jika dibaja selalu. Pembiakan dilakukan melalui anak benih yang terdapat di sisi pokok atau belahan rumpun yang padat dan boleh ditanam sama ada di dalam pasu atau di tanah.
Jika ditanam secara banyak di atas tanah ia menjadi amat menarik ketika bunganya berkembang.
Pokok ini sesuai ditanam di tanah yang bersaliran baik terutama tanah berpasir.
Selain membiarkan kuntuman daisy mekar di dalam pasu atau di halaman ia juga boleh dijadikan bunga keratan untuk menghiasi sudut di dalam ruang tamu kerana bunganya tahan agak lama.
Bunganya besar memiliki banyak ranggi berwarna kuning terang dengan ukuran melintang antara 10 hingga 15 sentimeter.
Spesies pokok hiasan ini mampu menarik serangga yang turut membantu proses pendebungaan untuk menghasilkan biji benih bagi pertumbuhan anak benih baru.
Hayatnya hanya dalam tempoh semusim. Persekitaran taman perlu ditanam semula dengan anak benih baru apabila pokok yang lama tidak lagi berbunga, layu dan menyerlahkan daun yang pudar warnanya.
Cara menanam
BIJI benih dari bunga pertama induknya diambil dan ditabur dalam bekas yang mengandungi tanah basah. Ia mudah bercambah dan cepat membesar.
Pindahkan ke polibag untuk memberi peluang kepada setiap anak benih itu membesar tanpa berlaku perebutan baja dalam ruang bekas yang padat.
Proses tumbesarannya adalah cepat dan boleh dijadikan stok pusingan untuk proses penanaman semula pokok menggantikan pokok lama.
Kaedah penanaman berkelompok dikenal pasti mampu menyerlahkan pemandangan yang menarik. Sesetengah pakar landskap mengklasifikasikan kaedah itu sebagai mencipta semak (bush) bagi hiasan taman.
Siraman mesti dilakukan sekurang-kurangnya sekali sehari hari. Penggunaan tanah gembur dan baja organik yang dihasilkan daripada najis haiwan reput, kompos dan tanah bakar amat disyorkan bagi memastikan kesuburan pokok dan wujudnya proses membaiki struktur tanah
—————————————————————————————
Dapatkah Hadiah Misteri Dengan Menjawab Soalan Kajian Ini <-Klik Sini

